PH Terengganu sambut baik keputusan negeri guna logo Hari Kebangsaan
Pakatan Harapan (PH) Terengganu menyambut baik kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk mengunakan logo Hari Kebangsaan yang sama seperti ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, kenyataan Samsuri yang juga Naib Presiden Pas itu dibuat setelah wujud suara kurang bertanggungjawab dan kurang matang untuk mengunakan logo berlainan.
Beliau menegaskan Hari Kebangsaan hendaklah disambut oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik dalam semangat penyatuan demi negara Malaysia yang disayangi.
“Kenyataan Menteri Besar Terengganu tersebut tepat dan kena pada masanya dan dialu-alukan untuk diikuti oleh semua pihak pembangkang dan juga kerajaan.
“Apa jua perbezaan pendapat hendaklah diketepikan demi membina negara yang lebih makmur dengan semangat kejayaan kita menyambut hari kebangsaan bersama.
“Tanggungjawab ahli politik serta wakil rakyat yang ikhlas ialah untuk membantu rakyat dengan meringankan beban harian mereka dan bukan menambahkan kemelut serta bebanan dalam hidup mereka dengan berpolitik tidak berkesudahan,” katanya.
Terdahulu, Kerajaan negeri Terengganu tetap akan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang sama dengan kerajaan Pusat untuk sambutan peringkat negeri pada tahun ini.
Ahmad Samsuri berkata, semua persiapan yang telah dibuat untuk sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Terengganu sebelum ini akan diteruskan seperti biasa.
“Ya, sama (penggunaan logo dan tema Hari Kebangsaan mengikut kerajaan Pusat),” katanya kepada media.
Mengulas lanjut, Raja Bahrin berkata, ahli politik serta pemimpin tidak harus menambahkan kemelut serta bebanan dalam hidup rakyat dengan berpolitik tidak habis-habis.
“Kasihanlah rakyat yang sedang bergelut dengan keadaan ekonomi yang kurang baik dan tidak menentu selepas dua siri pilihan raya yang sengit serta meletihkan minda dan badan mereka.
“Bayangkan sebuah isi rumah di mana emak dan ayah senantiasa bertengkar dan menyalahkan satu antara lain di depan anak-anak mereka.
“Di manakah anak-anak ini hendak mengadu dan lari membawa diri dari pertelingkahan yang tidak berkesudahan ini? Mereka akan terus tertekan,” ujarnya.