Negeri

Portfolio Exco Selangor hanya akan diketahui Rabu ini

Portfolio bagi 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Selangor akan diketahui pada Rabu ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemakluman tersebut akan dibuat pada tengah hari Rabu selepas mesyuarat Exco pertama negeri.

“Rabu nanti saya akan mengadakan mesyuarat Exco antara pukul 12 atau 1 tengah hari dan kemudiannya memaklumkan portfolio Exco.

“Portfolionya sudah ada tetapi biarlah majlis angkat sumpah (Exco) berlangsung (dulu).

“Jadi, rakan-rakan media dijemput (untuk membuat liputan pemakluman bidang tugas Exco hari rabu ),” katanya ketika ditemui di Istana Alam Shah, hari ini.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua tersebut mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor ke-17 di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Amirudin yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor memberitahu, barisan Exco tersebut akan mewakili semua parti termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (AMANAH), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Barisan Nasional.

Ujarnya, gabungan perpaduan ini berjaya melepasi ujian pertama dalam Pilihan Raya walaupun masih gagal mendapat dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Namun, kita masih mempunyai kelebihan 12 kerusi berbanding dengan pihak lawan dan kita dapat mengukuhkannya pada masa depan,” katanya.

Mengulas mengenai tanggungjawab sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu ketika ADUN pembangkang mendapat 22 kerusi DUN dalam PRN lalu, jelas Amirudin, meskipun gabungan perpaduan tidak mendapat dua pertiga kerusi DUN, namun lebih penting suara rakyat Selangor terus diangkat dalam pentadbiran di bawahnya.

“Setiap masa tugas selaku Exco Kerajaan Negeri dan Menteri Besar memang berat di Selangor tidak kisah kita ada dua pertiga, permintaan rakyat itu tinggi saya rasa semua Exco Kerajaan Negeri kena melaksanakan tugas sebaik mungkin.

“Suara di dalam DUN satu hal, tapi suara rakyat agak kuat, tidak mengira kedudukan akan menyampaikan kritikan dan sebagainya.

“Kita kena menjawab dengan cepat dan tuntas setiap soalan dibangkitkan, jadi pembangkang kuat tak kuat bukan satu isu pertama, kita kena kerja kuat di Negeri Selangor, permintaan rakyat agak tinggi berbanding situasi dan rakyat di negeri lain,” katanya lagi.

Related Articles

Back to top button