Pilihanraya

Speaker Pahang serah notis kekosongan DUN Pelangai kepada SPR

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, hari ini menyerahkan notis kekosongan kerusi DUN Pelangai kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun.

Notis itu diserahkan kepada Pengarah SPR Pahang, Datuk Zamree Hamli pada jam 11.20 pagi, di Wisma Sri Pahang.

Zamree berkata, pihaknya akan memaklumkan kepada ibu pejabat SPR di Putrajaya mengenai notis berkenaan.

“Ibu pejabat SPR dijangka mengadakan mesyuarat khas minggu ini bagi menetapkan tarikh penting bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai,” katanya.

SPR perlu mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari untuk mengisi kerusi itu.

Khamis lalu, penyandang DUN Pelangai, Johari antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Allahyarham Johari menang dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (Perikatan Nasional), Kasim Samat, Ahmed Wafiuddin Shamsuri (Pakatan Harapan), dan Isa Ahmad (Pejuang).

Related Articles

Back to top button