Semasa

Kerajaan akan perincikan kenaikan gaji penjawat awam

Kerajaan Perpaduan sedia memperincikan kenaikan gaji untuk kira-kira 1.3 juta penjawat awam sebelum dibentangkan dalam Belanjawan 2024, Oktober ini.

Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, selain kenaikan gaji penjawat awam, kerajaan akan turut memperincikan kenaikan kos pembayaran pencen kepada bekas anggota tentera tidak berpencen.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) amat prihatin kepada penjawat awam termasuklah bekas tentera yang dah lama memohon untuk kenaikan gaji (pencen).

“Perkara itu sedang dibincangkan dan belum ada keputusan,” katanya .

Ahmad Maslan berkata begitu selepas mengadakan dialog pada siri Jelajah Belanjawan 2024 di Auditorium Seri Negeri, di Ayer Keroh pada Isnin.

Turut hadir dalam sesi dialog itu adalah Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari.

Terdahulu, perdana menteri mengumumkan kerajaan berusaha menaikkan sedikit gaji penjawat awam menerusi Belanjawan MADANI kedua yang akan dibentangkan di Parlimen Oktober ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ia sebagai langkah sementara sehingga kajian menyeluruh berhubung skim gaji dan persaraan penjawat awam selesai dilakukan, yang dijangka pada tahun depan.

Related Articles

Back to top button