Negeri

‘Kita akan kerja lebih kuat’ – Menteri Besar Selangor

Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) berjaya melepasi ujian pertama untuk membentuk Kerajaan Perpaduan di Selangor meskipun hanya memperoleh majoriti mudah dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) di negeri itu berjaya melepasi ujian pertama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Merujuk kepada majoriti mudah dicapai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 12 Ogos lalu, beliau berkata sebagai rakan kerjasama, PH perlu memastikan BN diberi peranan penting dalam kerajaan negeri sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Selangor.

“Sebagai rakan kongsi, kita kena bergabung bersama-sama. Kita percaya gabungan Perpaduan ini berjaya melepasi ujian pertama dalam pilihan raya.

“Walaupun masih gagal untuk mendapat dua pertiga, tetapi kita masih mempunyai kelebihan 12 kerusi berbanding pihak lawan. Ini permulaan yang bagus dan kita boleh mengukuhkan pada masa depan,” katanya.

Amirudin yang merupakan Ahli Dewan Negeri Sungai Tua mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Isnin.

Sementara itu jelas Amirudin, beliau perlu memberi fokus lebih kepada tuntutan rakyat berbanding pembangkang yang kini menguasai hampir separuh Dewan Negeri Selangor.

“Setiap masa tugas Exco dan Menteri Besar memang berat, tak kisah kita mempunyai dua pertiga atau 50 ahli Dewan Negeri.

“Permintaan rakyat juga agak tinggi, saya rasa semua Exco kena menjalankan tugas dengan sebaik mungkin. Kita kena jawab cepat dan tuntas setiap persoalan yang dibangkitkan.

“Pembangkang kuat atau tidak, bukan isu utama atau satu-satunya perkara, kita tetap kerja kuat,” katanya.

Related Articles

Back to top button