Negeri

MOF lulus RM70 juta untuk rancangan tebatan banjir di Melaka

Kementerian Kewangan (MoF) meluluskan peruntukan hampir RM70 juta bagi sambungan enam projek rancangan tebatan banjir (RTB) di seluruh negeri Melaka.

Perkara itu dijelaskan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan kepada pemberita selepas mengadakan dialog pada siri Jelajah Belanjawan 2024 di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh pada Isnin.

Mengulas mengenai peruntukkan itu, beliau berkata jumlah terbesar disediakan Kerajaan Perpaduan adalah bagi menaik taraf Kolam Tebatan Banjir Krubong- Durian Tunggal sebagai kolam dwi-fungsi sebanyak RM23.5 juta daripada keseluruhan kos RM603.6 juta.

Sementara peruntukan RTB Sungai Duyong pula adalah sebanyak RM18.7 juta daripada kos sepenuhnya RM163.8 juta.

“RTB Bandar Jasin pula kita luluskan sebanyak RM11.3 juta, RTB Bandar Merlimau (RM9.4 juta), RTB Alor Gajah Fasa 1 (RM4.6 juta) dan RTB Sungai Melaka Fasa 1 sebanyak RM1 juta.

“Keseluruhannya, sebanyak RM68.5 juta diluluskan tahun ini untuk kesemua enam projek naik taraf kolam dan RTB di Melaka,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Ahmad Maslan berkata, kelulusan itu selepas kerajaan Pusat meneliti kepentingan mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di negeri ini sejak beberapa tahun lalu.

“Oleh kerana Melaka berada dalam zon banjir yang kronik, sebelum ini berlaku banjir di beberapa tarikh maka MoF telah meluluskan peruntukan untuk mengatasi masalah rakyat ini,” tambahnya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar memaklumkan kerajaan berjaya mengurangkan hampir RM2 bilion daripada jumlah asal projek RTB oleh kerajaan sebelum ini hasil penelitian semula dilakukan terhadap tender diberikan.

Penjimatan itu akhirnya boleh dikembalikan semula kepada rakyat dengan membina lebih banyak projek tebatan banjir.

Related Articles

Back to top button