Anwar

Program iTekad: PM Anwar umum geran tambahan RM6 juta untuk bantu PMKS

Kerajaan mengumumkan geran tambahan sebanyak RM 6 juta bagi memperkasakan lagi pelaksanaan program iTekad yang diselia Bank Negara bagi membantu usahawan Perusahaan Kecil dan Mikro Sederhana, (PMKS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, geran itu adalah penambahan daripada peruntukan RM4 juta sebelum ini.

Katanya, kerajaan bertekad untuk menghapuskan kemiskinan negara dan mengurangkan jurang antara golongan kaya dan miskin.

“Kalau dah berjaya dengan RM4 juta tak perlu saya tambah lagi, saya pasti dengan keputusan kejayaan, dengan andaian 20 bank, andaian ada lagi dana tambahan daripada Bank Negara, maka saya boleh tambah daripada RM4 juta jadi RM10 juta pada tahun ini,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Jalinan Kerjasama iTekad di ibu negara, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Gabenor Bank Negara, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.

Menurut Anwar, iTEKAD boleh dikembangkan selepas mencatatkan kos pengurusan yang lebih rendah dan tekanan kewangan yang kurang.

Justeru, beliau menggesa sembilan lagi institusi kewangan untuk terlibat sama menjayakan program itu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyeru lebih banyak institusi perbankan di Malaysia untuk menyertai inisiatif iTekad ini dalam masa terdekat.

“Setakat ini, kita ada 11 bank sahaja yang menyertai program iTekad dan saya harap dalam beberapa bulan ini, angka tersebut dapat mencecah kepada 20 institusi perbankan.

“Kalau tidak, saya hendak minta untuk melihat senarai yang belum masuk dan kemudiannya dikembangkan kepada sektor-sektor swasta,” katanya.

Related Articles

Back to top button