Semasa

Sultan Selangor murka tindakan biadap ahli politik heret Institusi Diraja dalam ceramah

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa murka terhadap tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pemimpin politik yang mengheret Institusi Diraja dalam ceramah pilihan raya, baru-baru ini.

Menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab, baginda turut menzahirkan rasa kesal apabila semakin terhakisnya rasa hormat segelintir pemimpin politik terhadap Institusi yang menjadi payung kepada umat Melayu Islam dan lain-lain bangsa.

“Sikap biadap mereka ini telah melangkaui batas-batas dan nilai keperibadian orang Islam dan Melayu yang sering dipelihara.

“Jangan kerana kita menyangka cukup popular dalam kalangan rakyat sehingga bertindak memperlekehkan sesiapa yang tidak sehaluan dengan fahaman politik.

“Malah sanggup pula hadir ke Selangor dengan melemparkan cacian melampaui batas. Ke mana hilangnya budi bahasa?.

“Peliharalah adab dan susila kita apatah lagi apabila kita bertandang ke negeri atau rumah orang,” titah Baginda semasa Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah pada Isnin.

Tambah Baginda, semua pihak perlu menghentikan budaya caci-mencaci yang boleh menjejaskan keharmonian dalam masyarakat dan menumpukan perhatian ke arah memajukan kehidupan rakyat dan memakmurkan negara.

“Beta menyeru kepada semua orang Melayu Islam di Selangor ini agar sentiasa mengelakkan perbalahan dan persengketaan sesama sendiri yang boleh membawa kepada perpecahan masyarakat Melayu Islam dan membawa imej yang buruk kepada kesucian agama Islam.

“Beta perhatikan, politik telah banyak memecah-belahkan perpaduan kita sesama umat Islam dengan amalan fahaman politik sempit.

“Cukuplah apa yang telah berlaku. Kita perlu maju ke hadapan dan membawa perubahan kepada cara kita berpolitik dan berfikir,” titahnya yang mahu semua pihak mengeratkan semula hubungan tanpa mengira agama, kaum dan fahaman politik.

Sementara itu, Sultan Selangor turut menggesa semua pihak menggunakan platform media sosial dan semua aplikasi untuk perkara positif yang boleh menyumbang kepada perpaduan masyarakat dan bukannya bagi menyebarkan fitnah.

“Media sosial dan semua aplikasi teknologi moden hari ini tidak digunakan untuk menyebarkan fitnah dan kebencian yang boleh menyebabkan perpecahan masyarakat,” titah Baginda lagi.

Related Articles

Back to top button