Semasa

Tidak jadi dosa tak menyokong parti politik guna jenama Islam – Mufti

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menegaskan parti politik yang menggunakan jenama Islam adalah rekaan manusia dan tidak bersifat suci atau sakral.

Justeru beliau menjelaskan tidak menjadi dosa atau jatuh kafir kepada mana-mana individu beragama Islam sekiranya mereka tidak menyokong ‘parti Islam’ atau mengundi parti lain.

“Mana-mana individu atau kumpulan boleh mendakwa memperjuangkan Islam, tetapi dakwaan ini mestilah dibuktikan dengan jelas dalam realiti kehidupan.

“Perlu diingatkan, Islam tidak akan tegak dengan slogan semata-mata tetapi ia ditegakkan dengan amalan dalam kehidupan rakyat sejahtera dan berkebajikan di samping pentadbiran negara yang baik, bersih dan cekap.

“Islam boleh ditegakkan secara bijaksana tanpa mencanangkannya kepada umum seperti melaksanakan keadilan sosial, meratakan kebajikan, membasmi kemiskinan, membanteras rasuah dan maksiat dan sebagainya,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Kenyataan itu menyusul polimik dari kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dalam satu kuliah yang tular mendakwa kemenangan PAS dalam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini adalah kemenangan perjuangan Islam.

Dia dipetik media menyifatkan dua kerusi yang dimenangi PH-BN selepas menewaskan calon PAS di kawasan terbabit sebagai milik pihak yang “menentang perjuangan Islam”.

Susulan itu Nassuruddin dikritik kerana kenyataan tersebut dianggap bersifat takfiri dan boleh menyebabkan perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Sementara itu jelas Wan Salim mahu umat Islam di negara ini membezakan antara Islam bersumberkan wahyu Ilahi dengan parti politik yang menjelmakan diri mereka dengan jenama Islam.

“Setiap Muslim wajib terikat dengan agamanya di sudut akidah mahupun amalan dengan mematuhi segala hukum yang ditetapkan di dalam Al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah.

“Parti Islam hanya ciptaan manusia sebagai wadah memperjuangkan Islam atau melaksanakan segala ajaran menerusi pentadbiran negara,” katanya sambil berkata, sikap taksub kerap mendorong seseorang dalam menyamakan antara rekaan manusia dengan ciptaan Allah.

Related Articles

Back to top button