Semasa

Akaun Hamzah Zainudin dibekukan, kata laporan

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dilapor membekukan akaun milik ketua pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Portal Scoop dalam laporannya hari ini memetik sumber, seorang pegawai kanan Bersatu yang mengesahkan tindakan undang-undang terhadap setiausaha agung parti itu dan ahli keluarga terdekatnya.

Perkembangan ini dipercayai sebahagian daripada siasatan berterusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hamzah, yang dinamakan dalam kertas pertuduhan kes rasuah RM15 juta membabitkan ahli perniagaan Datuk Seri Sim Choo Thiam.

Bagaimanapun laporan sama memaklumkan, pembantu peribadi Hamzah ketika dihubungi mengelak pertanyaan mengenai perkara itu, mengatakan bahawa “apa yang berlaku kepada (Hamzah) telah pun dilaporkan”.

Media pada Jun lalu melaporkan serbuah LHDN di kediamannya di Damansara yang membawa kepada rampasan beberapa dokumen.

Difahamkan, Hamzah semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini menjelaskan kepada penyokongnya bahawa dia mengetahui tentang laporan polis yang difailkan oleh Choo Thiam namun mendakwa tidak mengetahui kandungannya.

Pada 10 Mei, Choo Thiam didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15 juta bagi mendapatkan projek agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 2021 daripada Hep Kim Hong, pengarah urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd.

Ia sebagai dorongan untuk seorang pegawai badan awam iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu untuk membantu syarikat itu mendapatkan apa-apa projek milik agensi di bawah KDN pada Jun 2021.

Related Articles

Back to top button