Amirudin umum portfolio exco Selangor penggal ke-15
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan bertanggungjawab terhadap lima portfolio bagi penggal ke-15 Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.
Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua akan mengetuai Jawatankuasa Pembangunan Tanah & Sumber Alam, Kewangan dan Tindakan Ekonomi, Pemodenan Pentadbiran dan Digitalisasi Kerajaan, Komunikasi Strategik dan Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan.
Amirudin pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hari ini turut mengumumkan portfolio untuk 10 lagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau Exco Selangor.
Pentadbirannya turut mengekalkan tiga exco lama iaitu Ng Sze Han (dengan pertukaran portfolio), Izham Hasim dan Borhan Aman Shah.
Sze Han dilantik sebagai Exco Pelaburan Perdagangan & Mobiliti kini memegang portfolio Pelaburan & Perdagangan; Pembangunan IKS dan Wilayah Ekonomi Baharu, Mobiliti Selangor dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS).
Izham kekal sebagai Exco Infrastruktur dan Pertanian yang memegang portfolio Kemajuan Infrastruktur dan Pemodenan Pertanian dan Perladangan manakala Borhan yang sebelum ini Exco Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan, kini menjadi Exco Perumahan dan Kebudayaan dengan portfolio Perumahan dan Pembangunan Bandar Lestari serta Kebudayaan, Adat Istiadat Melayu dan Warisan.
“Ng Suee Lim (sebagai) Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan yang bertanggungjawab terhadap Pembangunan Kerajaan Tempatan, Pelancongan, Pembangunan Kampung Baru dan juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS).
“Exco kita yang seterusnya Datuk Rizam Ismail (sebagai) Exco Kemajuan Desa dan Perpaduan bertanggungjawab terhadap Kemajuan Desa dan Luar Bandar, Kemampanan Kampung Tradisi dan Perpaduan Nasional dan beliau dari Sungai Air Tawar,” katanya.
Suee Lim sebelum ini adalah Speaker Dewan Undangan Negeri bagi penggal lalu.
Sementara itu, ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin dilantik Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar yang bertanggungjawab terhadap portfolio Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau, Mohd Najwan Halimi dilantik Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan yang bertanggungjawab terhadap Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan, Pemberdayaan Usahawan dan Ekonomi Kreatif dan Pengurusan Bencana.
Manakala, Papparaidu Veraman sebagai Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan dengan portfolio Sumber Manusia, Pembasmian Kemiskinan, Hal Ehwal Orang Asal dan Minoriti serta Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS).
Dr Mohammad Fahmi Ngah pula dilantik sebagai Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Agama Islam, Industri Halal, Infrastruktur Digital dan Pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) manakala Anfaal Saari dilantik Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat serta memegang portfolio Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Penjagaan (Care Economy).
“Masa depan kita mungkin tidak menentu. Namun apa yang pasti ialah saya selaku Dato Menteri Besar Selangor, Menteri Besar anda, bersama dengan Barisan Kita Selangor di belakang saya, tentunya akan memberikan yang terbaik.
“Agar anda dan saya, kita semua sebagai penduduk Negeri Selangor Darul Ehsan, dapat bersama-sama terus mempertahankan prinsip dan nilai yang membina buat negeri ini, serta memelihara kerencaman dan kepelbagaian negeri ini yang sebenarnya menjadi tonggak kekuatan kita bersama,” katanya.