Nasional

Hayati erti merdeka, hargai pengorbanan pejuang – Dr Wan Azizah

Tanggal 31 Ogos 2023 pula merupakan tahun ke-66 kita sebagai warga Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan dengan bertemakan ‘Malaysia Madani : Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’.

Penaung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru agar setiap ahli Puspanita untuk sentiasa menghayati erti kemerdekaan dan menghargai pengorbanan wira yang memperjuangkan kebebasan tanah air.

Beliau berkata, nilai kemerdekaan negara bukanlah murah kerana ramai pejuang yang berkorban nyawa dalam usaha memerdekakan tanah air.

“Merdeka bukan bermaksud kibar Jalur Gemilang sahaja tetapi kita perlu tahu ‘harga’ untuk negara kita merdeka ini.

“Kalau kita tidak merdeka, kita dikawal dan dikongkong, tapi sekarang kita bebas dan (perlu) hargai nikmat merdeka ini,” kata isteri Perdana Menteri itu kepada pemberita selepas merasmikan Program Merdeka Madani@Puspanita di Putrajaya, semalam.

Program Merdeka Madani@Puspanita merupakan aktiviti bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dalam kalangan ahli dan turut dihadiri oleh Yang Dipertua Puspanita, Puan Sri Norizam Che Mohd Nor.

Selaras dengan aspirasi Malaysia Madani, Puspanita turut menghulurkan sumbangan kebajikan kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan persatuan berkaitan kebudayaan dan tradisional pada program tersebut.

Turut diadakan majlis penyampaian hadiah bagi pertandingan berbalas pantun merdeka, pertandingan nyanyian bintang patriotik dan pertandingan Si Cilik Merdeka. – Bernama

Related Articles

Back to top button