Semasa

KDN rampas dua buku untuk diteliti, bukan satu kedai- Saifuddin

Menteri Dalam Negeri (KDN) mempertahan tindakan anggota penguat kuasa kementerian tersebut merampas dua naskah buku di sebuah kedai di Wisma Central, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, rampasan dua buku berjudul Marx Sang Pendidik Revolusioner tulisan Robin Small dan Koleksi Puisi Masturbasi tulisan Benz Ali sendiri yang merupakan pemilik kedai buku tersebut dibuat atas aduan orang awam.

Malah tegasnya, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN berhak mengambil dua buku terbabit untuk diselidik dan diteliti isi kandungannya yang mengandungi unsur boleh menggugat ketenteraman awam dan isu tersebut tidak sewajarnya diperbesarkan.

“Istilah lebih tepat ialah kami pergi ambil dua buku saja, bukan (rampas) satu kedai, konotasi dibuat kononnya satu kedai dirampas sedangkan kami bertindak atas aduan awam.

“Jadi bertindak di atas aduan, kami pergi ambil dua buku itu saja dan tujuannya untuk penyelidikan, penelitian, semakan kalau isi kandungannya itu bertentangan dengan aspek yang diperuntukkan dalam undang-undang,” katanya.

Saifuddin berkata begitu pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di Putrajaya

Benz sebelum ini mempertikaikan rampasan terbabit selepas mendakwa buku berkenaan tidak tersenarai dalam kategori yang dilarang untuk dijual.

Jumaat lalu, Benz Ali atau nama sebenarnya, Amir Hamzah Akal Ali, mendakwa kedai bukunya diserbu anggota dan pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, jika hasil penyelidikan ke atas isi kandungan dua buku terbabit tidak menemui sebarang unsur menyalahi undang-undang, pihaknya akan memulangkannya kepada pemilik kedai buku berkenaan.

“Dari segi undang-undang, ia membenarkan penguat kuasa untuk ambil dua buku itu,” katanya.

Related Articles

Back to top button