Negeri

Kelantan ikut Kerajaan Persekutuan bersekali tema dan logo Hari Kebangsaan

Kerajaan Negeri Kelantan akan menggunakan logo dan tema sambutan Hari Kebangsaan yang sama dengan Kerajaan Persekutuan bagi sambutan peringkat negeri pada tahun ini iaitu Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sambutan Hari Kebangsaan itu dilakukan lebih awal berbanding sebelum ini iaitu pada malam 30 Ogos.

Katanya, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pertama exco hari ini.

“Tema sambutan Hari Kebangsaan untuk Kelantan kekal seperti tema kerajaan persekutuan iaitu ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan Membangun Bersama Isla’’.

“Untuk Kelantan, kita hanya tambah ayat di hujung iaitu Membangun Bersama Islam. Lain-lain serta logo adalah sama.

“Bagaimanapun sambutan Hari Kebangsaan akan diadakan sedikit berbeza iaitu pada waktu malam 30 Ogos dengan acara bermula jam 6.30 petang,” katanya pada sidang media, hari ini.

Katanya, sambutan itu akan disertai dengan pelbagai acara dan dimulakan dengan program Kelantan Berselawat sebelum diakhiri upacara bunga api.

“Justeru, kita berharap rakyat Kelantan dapat hadir beramai-ramai pada majlis yang akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari menarik perhatian selepas memberitahu bahawa empat negeri di bawah pemerintahan PN iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu mungkin akan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN.

Logo yang diperkenalkan Pemuda PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan serta mengambil elemen warna yang terdapat pada Jalur Gemilang dengan tema ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.

Bagaimanapun, selepas menerima kritikan daripada banyak pihak, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas memaklumkan perkara itu hanyalah cadangan Pemuda PN sebagai alternatif logo dan tema sambutan.

Related Articles

Back to top button