KKM siasat penularan wabak batuk kokol – Dr Zaliha
Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil langkah proaktif menyiasat penularan wabak pertussis (batuk kokol) yang dikesan di Kampung Bahagia, Rompin, Pahang.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa dalam satu sidang media di Putrajaya pada Selasa berkata, siasatan awal mendapati tiga sekeluarga dijangkiti wabak itu yang bermula dari ibu kepada dua anaknya.
Walau bagaimanpun bagi mendapat gambaran sebenar, siasatan lanjut tegasnya masih perlu dijalankan.
“Penyakit pertussis sentiasa ada dalam negara dan ia sudah diklasifikasikan sebagai endemik,” katanya.
Dr Zaliha sebelumnya hadir ke Majlis Menandatangani Nota Persefahaman (NoU) Kerjasama Strategik Bidang Kesihatan dan Kebombaan antara KKM dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Pertussis adalah penyakit cegahan vaksin yang disebabkan oleh bakteria Bordetella pertussis dengan kuman disebarkan melalui udara semasa pesakit bersin atau batuk dan menjangkiti mulut, hidung dan tekak.
Gejala lazim pertussis adalah batuk berpanjangan dalam tempoh satu hingga dua minggu dan boleh berlarutan sehingga dua bulan.
Komplikasi teruk seperti pneumonia (radang paru-paru), encephalopathy (radang otak) dan kematian juga boleh berlaku jika tidak mendapat rawatan awal.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan hari ini berkata ketiga-tiga pesakit tersebut telah diberikan rawatan dan berada dalam keadaan stabil.
“Pada masa ini tiada kes baru yang dikesan di sekitar kawasan tempat tinggal kes,” katanya menerusi kenyataan mengenai situasi terkini kes pertussis (batuk kokol) di Malaysia sehingga 19 Ogos (2023).