Uncategorized

NRECC laksana perubahan budaya, serius mahu jadikan Malaysia negara mesra alam

Sebagai sebahagian usaha penjimatan negara dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, kerajan bakal melaksana perubahan budaya di premis kerajaan.

Dalam kenyataan, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perubahan itu termasuk menyelaras suhu penyaman udara dingin kepada 24 hingga 25 darjah Celsius dan menukar kod pakaian agar sesuai dengan cuaca di Malaysia.

Perkara itu jelasnya telah dibangkitkan dalam pembentangan memorandum jemaah menteri Energy Efficient and Conservation Act (EECA) dalam mesyuarat jemaah menteri pada 2 Ogos lalu.

Selain menyelaras suhu penyaman udara, kabinet jelasnya telah bersetuju membenarkan penjawat awam memakai baju batik pada setiap hari bekerja – dan bukannya hanya hari Khamis seperti sebelum ini – bersesuaian dengan iklim di Malaysia.

“Hal ini bagi memberi keselesaan kepada penjawat awam untuk menyesuaikan cara pemakaian dengan perubahan suhu premis yang telah ditetapkan dalam usaha kerajaan untuk menjimatkan penggunaan tenaga elektrik, menyokong inisiatif kecekapan tenaga dan sekali gus merangsang pembangunan industri batik Malaysia,” katanya sambil memaklumkan etika berpakaian baru itu juga akan diperluas ke Parlimen.

Nik Nazmi pada Disember lalu memberitahu rakyat Malaysia memerlukan anjakan paradigma dalam soal penggunaan tenaga dan ia boleh diperluaskan dengan menamatkan amalan penggunaan penyaman udara pada suhu begitu rendah di bangunan kerajaan.

Tabiat lama jelasnya perlu diteliti semula agar Malaysia benar-benar menjadi negara yang mesra alam sekitar.

Sebelum ini, kementeriannya bersama Kementerian Ekonomi, melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga yang antara lain bertujuan untuk mendorong penggunaan tenaga solar.

Ini termasuk rancangan untuk menggalakkan pemasangan panel solar di bumbung kediaman melalui pelan pajakan, dan bukannya meletakkan beban kepada pemilik rumah.

Related Articles

Back to top button