Negeri

Pahang tarik pelaburan RM5.6 bilion setakat bulan lalu – ECERDC

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM5.6 bilion untuk Pahang.

ECERDC dalam satu kenyataan memaklumkan jumlah itu adalah setakat bulan lepas dan ia meliputi pelaburan dalam sektor pelancongan; perkhidmatan; pembuatan; minyak, gas dan petrokimia (OGP) serta perniagaan tani.

“Sejumlah 64 peratus daripada pelaburan komited tersebut ialah pelaburan langsung domestik (DDI) dan 36 peratus adalah pelaburan langsung asing (FDI) dari Singapura, China dan Kanada,” katanya.

Kenyataan itu menyusul mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Pahang yang berlangsung di Putrajaya pada Selasa.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai mengulas perkara itu berkata, kerajaan negeri merasa yakin ECERDC akan menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi ke Pahang berkenaan menerusi kerjasama kementerian dan agensi berkaitan.

Selain itu, beliau juga percaya projek infrastruktur pelancongan yang sedang dilaksanakan ECERDC di Pahangjuga dapat menghasilkan kesan limpahan ekonomi dan manfaat kepada negeri berkenaan dan penduduk.

Antara projek itu ialah kerja menaik taraf jeti Kampung Salang di Pulau Tioman, flotila teratai di Tasik Chini dan kerja menaik taraf Pantai Hiburan di Rompin yang telah dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai Taman Kenderaan Rekreasi (RV) pertama di ECER yang selari dengan fokus kerajaan Persekutuan ke arah ekopelancongan dan pelancongan lestari.

Related Articles

Back to top button