Negeri

Perak wartakan ajaran AMMA menyeleweng dari Islam

Negeri Perak mengumumkan bahawa Ajaran Noor Hisham bin Alias iaitu ‘Allah Muhammad Muhammad Allah’ (AMMA) di Manjung adalah menyeleweng dan bercanggah dengan syarak.

Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, keputusan itu dibuat dan diperaku dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak Kali Ke-231 yang telah bersidang pada 12 April lalu.

“Oleh itu, orang ramai hendaklah menjauhi ajaran itu dan dilarang berpegang serta beramal dengannya.

“Mana-mana orang yang telah terlibat dengan pegangan dan pengamalan ajaran ini hendaklah bertaubat kepada Allah,” katanya.

Sementara itu tambahnya, surat pekeliling mengenai keputusan jawatankuasa fatwa tersebut turut diedarkan kepada semua Pegawai Tadbir Agama Islam daerah di negeri ini hari ini.

Justeru semua bentuk pengajaran, pengamalan, penerbitan, promosi, pengedaran bahan-bahan ajaran AMMA itu melalui apa-apa medium hendaklah disekat, dihenti dan diharamkan serta-merta.

Difahamkan ajaran itu mendakwa Nabi Muhammad tidak dilantik menjadi Rasul serta menimbulkan persoalan adakah baginda lembab kerana tidak mampu membaca dan menulis pada usia 40 tahun.

Ajaran itu juga dianggap menyeleweng kerana menterjemah kalimah syahadah dengan ‘Tiada nyata hanya Allah’ tanpa penjelasan sebenar.

Ajaran itu turut mendakwa Islam sebenar telah diselewengkan pada tahun 850 Masihi serta berpandangan ayat-ayat al-Quran mungkin tersalah tulis kerana ia ditulis pada kulit-kulit dan tulang-tulang haiwan ketika itu.

“Ajaran itu mendakwa terdapat dua al-Quran iaitu al-Quran hidup yang ditafsir sebagai alam mini yang berada dalam diri manusia serta al-Quran mushaf.

“AMMA juga berhujah jika al-Quran yang ada sekarang sangat penting, sudah tentu ia ditulis dan dibukukan oleh Nabi,” tambah Wan Zahidi lagi.

Related Articles

Back to top button