Negeri

Amirudin selar tuduhan jahat kaitkan skim insuran INSAN dengan dana pilihan raya

Tuduhan mengaitkan Skim Insurans Am Selangor (INSAN) dengan dana pilihan raya yang ditularkan di media sosial merupakan tuduhan fitnah berniat jahat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata ia sebaliknya INSAN membabitkan suatu inisiatif Kerajaan Selangor yang dibuat secara pra pendaftaran dan menafikan dakwaan maklumat peribadi dalam rekod Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) disalahgunakan oleh kerajaan negeri dan diserahkan kepada syarikat insurans untuk tujuan program kebajikan itu.

“Dakwaan itu berniat jahat, tiada kaitan langsung dana untuk PRN. Itu saya boleh sahkan 100 peratus.

“Yang kedua, sebenarnya data itu adalah data awam yang boleh dibeli, iaitu maklumat dan kita daftarkan sebagai pra pendaftaran.

“Apa yang berlaku ialah pra pendaftaran dengan kita berhubung dengan SPR dan SPR sebutkan apa yang ada dalam daftar pemilih itu boleh digunakan dan kita ambil ikut tahap umur tertentu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), pada Rabu.

Beliau sementara turut menjelaskan kerajaan negeri mengambil langkah menggunakan kaedah pra pendaftaran bagi mengurangkan beban kerja dan tempoh lama untuk mendaftarkan kira-kira 6 juta rakyat Selangor kepada sistem berkenaan.

Sebelum ini, skim INSAN heboh diperkatakan di media sosial selepas didakwa mengandungi data peribadi pengundi dan penduduk di Selangor selain ada individu yang sudah meninggal dunia yang turut didaftarkan

Sementara itu, Amirudin meminta mereka yang membuat dakwaan terhadap kerajaan negeri berhubung skim berkenaan untuk menerangkan bagaimana orang awam boleh mempunyai akses terhadap polisi perlindungan yang belum sempurna itu.

Tambahnya, polisi berkenaan sepatutnya akan diserahkan kepada penerima yang didaftarkan.

Related Articles

Back to top button