Semasa

KPKT mahu lahirkan lebih ramai usahawan melalui PEKB

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhasrat untuk melahirkan lebih ramai usahawan bandar.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, usaha itu dapat dijalankan di bawah program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) dan usahawan Kampung Baru Cina.

Tambahnya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), KPKT diperuntukkan sebanyak RM55 juta dengan sasaran untuk melahirkan 4,835 usahawan B40 di bandar.

“Program PEKB yang bermula sejak 2013 adalah satu usaha KPKT dalam merealisasikan Kesejahteraan Rakyat di Bandar.

“Sehingga kini, PEKB melahirkan seramai 16,515 orang usahawan terdiri dalam kalangan golongan berpendapatan rendah yang dipilih oleh NGO,” katanya ketika berucap pada Majlis Jualan Merdeka Usahawan Komuniti Bandar 2023, di Putrajaya pada Rabu.

Mengulas mengenai program PEKB, beliau menjelaskan peserta akandiberikan latihan keusahawanan dalam pelbagai bidang bertujuan meningkatkan kemahiran hingga mampu mengusahakan perniagaan yang dapat memberikan pendapatan yang baik.

Aktiviti perniagaan usahawan itu kemudian jelasnya dipantau oleh NGO terbabit selama enam bulan bagi memastikan mereka dapat menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM600 sebulan.

“Apa yang menarik, pada hari ini terdapat peserta PEKB yang boleh menjana pendapatan kasar sebanyak RM10,000 sebulan. Malah pengusaha ini dilantik sebagai tenaga pengajar dan menjadi contoh kepada anak-anak muda setempat.

“Boleh dikatakan majoriti peserta PEKB telah berjaya keluar dari garis kemiskinan negara,” katanya.

Related Articles

Back to top button