Global

FPDA: Malaysia-Australia komited pastikan keselamatan serantau

Malaysia dan Australia pada Rabu menyatakan komitmen bersama terhadap Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang menjadi tonggak keselamatan di rantau ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi kenyataan bersama rakan sejawatnya dari Australia Richard Marles berkata, berpandukan prinsip itu, semua inisiatif masa hadapan akan menyatukan dan memperkukuhkan negara-negara ahli FPDA, dan maju bersama pada kadar yang disenangi oleh kesemua negara anggota.

“Kedua-dua menterimengesahkan komitmen terhadap kepaksian ASEAN dalam pembinaan keselamatan serantau, termasuklah Kumpulan Kerja Pakar Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM PLUS EWG).

“Mereka juga mengambil maklum kepentingan pandangan ASEAN terhadap Indo-Pasifik, Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ),” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Marles mengadakan lawatan ke Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan di sini dan memeriksa perbarisan Kawalan Kehormat Utama diiringi Mohamad.

Mereka kemudian mempengerusikan Mesyuarat Ketiga Jawatankuasa Peringkat Tinggi Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia (MAJDP).

Dalam kenyataan sama, kedua-dua menteri turut memperakukan keutuhan kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Australia berasaskan sejarah, keyakinan dan saling menghormati yang diterjemahkan menerusi Kerjasama Strategik Komprehensif.

Mereka berdua berkongsi pandangan yang sama berkaitan kepentingan meningkatkan kesedaran domain maritim menerusi pembangunan keupayaan dan kebolehoperasian antara kedua-dua angkatan tentera

Sementara itu, Mohamad menyampaikan penghargaan beliau kepada Australia kerana menyokong projek penaiktarafan infrastruktur Pangkalan Udara Butterworth dengan kedua-dua menteri mengalu-alukan kemajuan projek penaiktarafan yang signifikan di pangkalan udara berkenaan.

“Kedua-dua menteri mengiktiraf kepentingan Rifle Company Butterworth yang mana penugasan berterusan mereka telah meningkatkan kebolehoperasian antara kedua-dua angkatan tentera.

“Kedua-dua negara komited untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau dan akan bekerjasama rapat dalam menangani cabaran keselamatan bersama demi kepentingan serantau,” tambah kenyataan itu lagi.

Related Articles

Back to top button