Penghayatan Hadis 40 di sekolah bantu bentuk akhlak generasi muda Islam – Mufti Pahang
Langkah kerajaan melaksana modul penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah seperti disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar diterima baik.
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman menyifatkan pelaksanaan modul tersebut di sekolah dapat membantu pembentukan akhlak generasi muda Islam yang lebih baik dan langkah memperkenalkannya kepada pelajar di usia muda adalah tepat.
“Hal-hal ibadah, adab, pergaulan dan sebagainya disentuh dalam hadis berkenaan…kelazimannya mereka yang dewasa yang mempelajarinya dan elok sangat jika diberikan pendedahan daripada usia muda,” katanya dipetik laporan Bernama.
Kementerian Pendidikan (KPM) pada Sabtu melancarkan modul tersebut bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah lagi.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika meluncurkan modul itu berkata, ia akan mula dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), sebelum diedarkan ke sekolah-sekolah di bawah KPM tahun depan.
Cadangan supaya Hadis 40 Imam Nawawi di cetak semula menerusi kerjasama KPM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilontar Anwar pada program Muzakarah Ulama-Umara
pada Festival Turath Islami Selangor pada Mei lalu.
Menurut Anwar langkah itu merupakan usaha untuk memupuk semangat kasih sayang selain menerapkan kefahaman agama khususnya dalam kalangan pelajar Islam.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Islam Pahang, Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Prof Madya Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin menyifatkan langkah proaktif tersebut dilihat sebagai usaha kerajaan memartabatkan bidang hadis terutama dalam kalangan generasi muda.