Perjuangan Islam bukan milik mutlak suatu kelompok tertentu – ABIM Kelantan
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan menyelar kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang melabel dua calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sebagai melawan perjuangan Islam
Naib Yang Dipertuanya, Saifulnizam Muhamad dalam satu kenyataan menyifatkan kenyataan Mohd Nasuruddin itu sebagai kurang cermat dan mengingatkan bahawa fungsi pembangkang di mana-mana dewan bertujuan sebagai unit hisbah untuk melakukan semak dan imbang pentadbiran sesebuah negeri.
“Walaupun ayat yang dilafazkan Menteri Besar Kelantan itu tidak jatuh kepada menuduh fasiq atau kafir, lemparan kalam beliau memberi konotasi kepada pihak selain beliau itu melawan perjuangan Islam,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan perjuangan menyemarakkan perjuangan Islam bukan milik mutlak mana-mana pihak secara khusus.
“Tidak pernah ada dalil yang mengkhususkan suatu kelompok yang mendapat tugasan ini secara mutlak sesuai dengan ajaran Islam yang bersifat rahmah.
“Kesimpulannya, setiap orang mempunyai peranannya tersendiri dalam memperjuangkan Islam,” tambahnya.
Media sebelum ini melaporkan, dua calon BN dan PH yang menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama dan Galas memberi tempoh tujuh hari kepada Mohd Nassuruddin membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataannya yang melabel dua calon berkenaan menolak perjuangan Islam.
Calon yang memenangi DUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim dan DUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim menyifatkan kenyataan ADUN Meranti itu sangat keterlaluan.
Sementara itu ABIM Kelantan dalam kenyataan sama menggesa kerajaan pimpinan Mohd Nassuruddin menghargai kehadiran dua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebagai unit hisbah bagi memastikan pelaksanaan Dasar Membangun Bersama Islam itu bukan sahaja dijelmakan dalam bentuk slogan, sebaliknya turut dizahirkan dalam bentuk pelaksanaan dasar yang dirasai oleh semua rakyat Kelantan.