Semasa

PERKESO perkenal garis panduan keselamatan jalan raya bagi pekerja gig

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada Rabu memperkenalkan Standard Malaysia (MS) 2756 – Amalan Baik untuk Penyedia Platform dalam Melaksanakan Pengurusan Keselamatan Lalu Lintas Jalan Raya Berkaitan Pekerjaan (MS 2756:2023).

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, MS 2756:2023 ke arah mencapai sasaran kerajaan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya seiring dengan perkembangan ekonomi digital dan pekerja gig.

Jelasnya, standard itu yang dicadangkan PERKESO dan dibangunkan melalui kumpulan kerja di bawah infrastruktur pembangunan piawaian kebangsaan, merupakan garis panduan untuk amalan baik kepada penyedia platform bagi memastikan pengurusan perjalanan atau perjalanan kerja yang lebih selamat buat pekerja sektor terbabit.

“Jabatan Standard Malaysia di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah berjaya menerbitkan MS 2756:2023 dengan kerjasama pakar daripada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pihak berkuasa, institut penyelidikan, ahli akademi, badan dan persatuan profesional serta pemain industri.

“MS 2756:2023 juga menyokong dasar semasa kerajaan seperti Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSHMP25) dan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030 (MRSP 2022-2030),” katanya dalam ucapan.

Sivakumar sebelumnya hadir pada majlis penutupan Seminar Vision Zero Malaysia 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Sementara itu berdasarkan statistik PERKESO, setakat Jun lalu sebanyak 1,204 kes kemalangan dan 25 kematian dilaporkan menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri (SKSPS) melibatkan sektor pengangkutan barangan dan makanan serta pengangkutan penumpang.

Jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 158.9 peratus iaitu 1,872 kes pada 2022 berbanding 723 kes pada 2021.

Related Articles

Back to top button