Nasional

Syarikat swasta diseru semarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia

Syarikat swasta diseru mengibarkan Jalur Gemilang di sekitar kawasan pejabat bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata usaha itu juga dapat menaikkan semangat patriotik rakyat Malaysia menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

“Saya nampak banyak agensi kerajaan lain mengadakan program seperti ini yang mengedarkan Jalur Gemilang. Jadi saya mengalu-alukan pihak swasta membantu kita dengan memasang Jalur Gemilang di tempat kerja supaya rakyat boleh merasai suasana menyambut HKHM 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pengedaran Jalur Gemilang di Kuala Lumpur Sentral, semalam.

Dalam pada itu, Teo berkata bagi memenuhi keperluan orang ramai yang ingin menyambut Malam Ambang Merdeka pada 30 Ogos di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan Dataran Merdeka, Rapid KL akan melanjutkan operasi di 10 stesen rel hingga pukul 2 pagi.

Stesen yang terlibat ialah Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni, LRT Masjid Jamek, LRT KLCC, dan LRT Ampang Park bagi laluan Kelana Jaya, LRT Masjid Jamek Laluan Ampang, Monorel Bukit Bintang, Transit Aliran Massa (MRT) Bukit Bintang dan MRT Pasar Seni bagi Laluan MRT Kajang, serta MRT Ampang Park dan MRT Persiaran KLCC bagi Laluan MRT Putrajaya.

“Pada 31 Ogos, sambutan diadakan di Dataran Putrajaya, jadi perkhidmatan Rapid KL akan bermula pada 4 pagi untuk memberi peluang kepada warga kota yang ingin ke sana bersama-sama meraikan acara sambutan Hari Kebangsan 2023,” katanya.

Teo berkata Rapid KL akan menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma dari stesen MRT Putrajaya Sentral ke Dataran Putrajaya melibatkan sebanyak 50 bas selain tiga perkhidmatan bas percuma merangkumi laluan MRT Putrajaya Sentral, ke Dataran Putrajaya, Nasyrul Quran Presint 14 dan Marina Putrajaya.

Related Articles

Back to top button