Semasa

Kehidupan penduduk Kampung Orang Asli Tonggang bakal berubah lepas lawatan PM

Kehadiran Perdana Menteri ke Kampung Orang Asli Tonggang di Ulu Kinta sempena lawatan kerja semalam membawa khabar gembira buat masyarakat setempat.

Dalam ucapannya pada program tersebut, Anwar mengumumkan kelulusan bagi pemasangan perkhidmatan Internet satelit Starlink untuk kemudahan penduduk setempat.

Ia sebagai memenuhi permintaan Tok Batin Kampung Tonggang, Che Wan Bin Alang yang mengusulkan perkara itu dalam ucapan sempena menyambut kehadiran Perdana Menteri.

“Apabila saya turun ke sini hari ini, kualiti jaringan Internet sedia ada hampir tiada sedangkan ada 435 penduduk yang tinggal di sini dan jika ada boleh dihantar satu kit Starlink ke sini kelak.

“Penggunaan Starlink ini sebagai penyelesaian sementara dan ia akan diselesaikan segera agar penduduk di sini dapat menikmati jaringan internet yang stabil,” kata Anwar.

Beliau sementara itu menjelaskan kehadiran itu membolehkan beliau sendiri mengetahui keperluan di kawasan tersebut dan akan berusaha mempercepatkan segala permohonan yang dibuat.

“Saya beri jaminan, kita akan beri perhatian walaupun mana-mana kerajaan tidak boleh selesai semua tahun ini juga. Tetapi yang kecil-kecil, yang saya katakan dan saya umum hendak dipastikan dijalankan segera.

“Saya tidak mahu nanti orang di Kampung Tonggang ini kata Anwar ini sama sahaja, mari umum lepas itu apa pun tiada. Saya tidak mahu macam itu,” katanya .

Anwar turut mengumumkan peruntukan bagi menambah baik jalan raya ke kampung itu selain peruntukan RM400,000 untuk pembinaan blok bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tanjung, Kampung Tonggang.

Turut hadir dalam lawatan rasmi itu ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad.

Sementara itu Tok Batin Che Wan melahirkan rasa syukur dengan pengumuman Perdana Menteri dan berharap usaha berkenaan akan menaikkan taraf hidup Orang Asli di kampungnya.

Related Articles

Back to top button