Global

Kerajaan belum ada keputusan mengenai sekatan hasil laut dari Jepun

Malaysia belum memuktamadkan sama ada membuat sekatan import hasil laut dari Jepun susulan pelepasan air radioaktif yang dirawat dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sebarang keputusan akan ditentukan selepas kajian dilaksanakan membabitkan kementeriannya bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak berkaitan alam sekitar.

“Kita akan buat kajian dan ambil pendirian sama dengan negara lain soal sisa nuklear yang masuk laut merebak ke seluruh dunia.

“Banyak badan bukan kerajaan (NGO) membuat pendirian dan akan bersama (mereka) kalau kajian nampak bahaya kepada penduduk di dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Showcase Teknologi MARDI (Show-tech MARDI) 2023 anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS), di Serdang, Selangor, hari ini.

Jepun mula melepaskan air sisa radioaktif terawat dari loji nuklear Fukushima Daiichi semalam, dalam operasi yang ditegaskan selamat dilakukan, namun menerima bantahan daripada beberapa negara jiran.

Susulan perkembangan itu, China dan Hong Kong bertindak menguatkuasakan larangan import makanan laut dari wilayah-wilayah di negara matahari terbit berkenaan termasuk Tokyo dan Fukushima.

Terdahulu, media melaporkan, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan memaklumkan, KKM akan mengenakan pemeriksaan Tahap 4 (Pengawasan) di pintu masuk negara terhadap produk makanan berisiko tinggi yang diimport dari Jepun untuk analisis kandungan bahan radioaktif.

Beliau dilaporkan berkata, berdasarkan data KKM, dalam tempoh dari 2022 sehingga Jun lalu, makanan berasaskan ikan dan hasilan ikan antara produk tertinggi diimport dari Jepun disusuli buah-buahan, sayuran dan selebihnya adalah makan serta minuman terproses dengan nilai keseluruhan iaitu sebanyak RM880,115,437.

Related Articles

Back to top button