Semasa

KPDN laksana Ops Tiris Fasa 2, benteras penyelewengan minyak diesel bersubsidi

Sebanyak 4.31 juta liter minyak diesel subsidi bernilai RM9.23 juta berjaya dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, rampasan dilakukan melalui Ops Tiris yang bermula 1 Mac hingga 23 Ogos lalu.

Selain diesel, kementerian menyita pelbagai aset serta peralatan lain bernilai lebih RM25.24 juta, menjadikan keseluruhan rampasan minyak dan aset berjumlah RM34.48 juta.

“Sebanyak 379 tangkapan juga telah dilakukan dalam tempoh sama melibatkan 305 individu merupakan warganegara, 71 individu warga asing manakala tiga individu adalah pemastautin tetap,” katanya pada sidang media pada Khamis.

Tambahnya, sebanyak 10,351 pemeriksaan telah dilakukan manakala sebanyak 121 aduan diterima berhubung isu berkaitan dalam tempoh tersebut.

Justeru itu, KPDN akan meneruskan Ops Tiris Fasa 2 bermula 1 September hingga 31 Disember tahun ini.

“Kalau sebelum ini, siasatan kita hanya tertumpu pada aspek di tengah iaitu pihak yang menyeludup, membeli dan kemudian menyerah kepada elicit buyer tetapi kali ini kita akan meluaskan skop supaya lebih berkesan.

“Kita tumpukan juga kepada aspek bekalan awal, contohnya stesen minyak juga kita akan siasat. Jadi kita harap pengusaha stesen minyak boleh bantu kita menyalur maklumat, contohnya jika ada kenderaan tertentu disyaki datang berulang kali atau buat modifikasi terhadap kenderaan mereka, kita harap mereka beri maklumat,” katanya.

Related Articles

Back to top button