Negeri

KPM beri perhatian, komitmen bagi pendidikan di Sabah dan Sarawak

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi perhatian serta komitmen besar terhadap bidang pendidikan terutama kebajikan pelajar serta pembangunan sekolah-sekolah daif di Sabah dan Sarawak, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, selain isu sekolah daif, isu kanak-kanak tanpa dokumen serta bukan warganegara dan keperluan lain sekolah misalnya penyediaan bot, terdapat banyak lagi perkara yang akan menjadi tindak susul pihak KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah.

“Kebanyakan sudah pun berada dalam sasaran sekolah sebagai contoh Rancangan Makanan Tambahan (RMT), semalam ada permintaan penyediaan bot ke sekolah kerana bot tidak cukup, jadi kita angkat perkara ini.

“Pada hari ini juga Pengarah Pendidikan Negeri Sabah (Raisin Saidin) hadir untuk ambil perhatian segera, kita akan selaras dengan JPN meliputi pelbagai perkara,” katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan Bangau-Bangau di Semporna, hari ini.

Fadhlina kini dalam lawatan kerja dua hari di Tawau, Kunak serta Semporna yang merupakan daerah di Pantai Timur Sabah bagi Program Tindak Susul (PTS) Parlimen untuk akses pendidikan kanak-kanak warganegara dan bukan warganegara.

Pada lawatan itu beliau mendengar sendiri maklum balas dan permintaan daripada guru besar mengenai pembangunan dan keperluan menambah kelas, membaik pulih makmal, fasiliti kelas dan sebagainya.

Fadhlina berkata, lawatan PTS berkenaan berbeza dengan rangka kerja lain kerana ia membabitkan isu-isu yang dibangkitkan dalam Parlimen untuk kepentingan serta keperluan sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak.

“Tindak susul kedua adalah memberikan keutamaan kepada isu-isu sekolah dan ketiga untuk kita sama-sama khusus dalam Ekonomi Madani ini melibatkan partisipasi komuniti,” katanya.

Related Articles

Back to top button