Negeri

MBI sahkan tiada kebocoran data program INSAN

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor mengesahkan tiada elemen pembocoran data rakyat dan penduduk Selangor berlaku menerusi Program Insurans Am Selangor (INSAN).

Dalam satu kenyataan, MBI menegaskan dakwaan yang tular mendakwa berlaku pembocoran data itu sebelum ini adalah tidak tepat kerana ia dilindungi kerajaan negeri.

“Disebabkan dakwaan tidak tepat yang disebar luas, beberapa pihak tidak bertanggungjawab telah menyalahgunakan laman sesawang (program INSAN) ini untuk tujuan yang berniat jahat.

“Oleh itu, laman sesawang berkenaan sedang diperkukuhkan dengan ciri keselamatan tambahan dan akan aktif dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu hari ini.

MBI Selangor memaklumkan inisiatif kerajaan Selangor yang bermula 1 Okt 2022 bertujuan memberi perlindungan insurans am kepada enam juta rakyatnya dengan badan korporat itu dilantik sebagai agensi pelaksana, manakala Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd sebagai pengendali perkhidmatan.

INSAN adalah antara inisiatif dan komitmen kerajaan negeri untuk mengurangkan beban kewangan rakyat apabila berlakunya kemalangan atau kematian selaras dengan laporan peningkatan kemalangan jalan raya di Malaysia daripada 370,286 pada 2021 kepada 545,588 pada 2022.

“Rakyat Selangor berumur dari 30 hari hingga 80 tahun layak dilindungi di bawah INSAN. Terdapat dua jenis skim INSAN iaitu konvensional yang disediakan oleh AmGeneral Insurance Berhad dan bagi takaful pula disediakan oleh Takaful Ikhlas General Berhad.

“Sehingga Julai 2023, sejumlah 44 kes tuntutan telah diselesaikan merangkumi jumlah pemberian pampasan sebanyak RM537,000 meliputi kes kematian dan kecacatan kekal,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu disebabkan aduan kekangan untuk mendaftar khususnya warga emas, kerajaan Selangor mengambil inisiatif melaksanakan proses prapendaftaran secara automatik dengan memadankan maklumat daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya dan nombor kad pengenalan rakyat serta penduduk negeri.

“Meskipun prapendaftaran automatik ini menyediakan polisi kepada rakyat dan penduduk di negeri Selangor, setiap penerima polisi perlu menyempurnakan proses pengesahan diri serta bersetuju menerima tawaran perlindungan ini.

“Jika pengesahan tidak dibuat, tuntutan perlindungan sosial RM10,000 untuk kes kematian atau kes hilang upaya akibat kemalangan tidak akan diberikan. Tidak berlaku pembocoran data kerana data program INSAN dilindungi oleh kerajaan negeri,” menurut kenyataan itu.

Maklumat lanjut berhubung program INSAN boleh dirujuk pada lampiran soalan lazim yang disertakan dan laman sesawang INSAN di www.programinsan.com.

Related Articles

Back to top button