Semasa

PM Anwar sampaikan memento kenangan sebagai hargai jasa pekerja FT004

Kerajaan Perpaduan menyampaikan penghargaan kepada 37 bekas pekerja pembinaan Jalan Raya Timur – Barat (FT004) bagi mengenang kembali jasa dan pengorbanan pekerja pembinaan laluan itu

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sendiri memento kenangan sebagai simbolik menghargai jasa bakti yang telah dicurahkan pada Program Setia Bakti Jalan Raya Timur Barat (FT004) di Jeti Awam Pulau Banding semalam.

Program berkenaan diadakan Kementerian Kerja Raya (KKR) sempena ulang tahun Hari Kebangsaan ke-66 di bawah lembayung Kempen MyJalan yang merupakan platform advokasi dan pendedahan kepada pengguna jalan raya tentang penyenggaraan jalan raya sedia ada.

Selain momento kenangan yang pertama kali diperkenalkan itu, Anwar mengumumkan pemberian saguhati RM1,000 kepada 87 keluarga bekas pekerja pembinaan FT004 yang terkesan akibat serangan pengganas komunis.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang turut hadir pada program tersebut berkata pembinaan laluan ini yang juga merupakan ‘Lebuhraya Pertahanan’ yang dibina sebagai satu daripada strategi melumpuhkan pergerakan pengganas komunis pada era pascakemerdekaan Tanah Melayu pada 1970.

“Usaha ini tidak mudah, yang menyaksikan pasukan JKR diserang oleh komunis, mengorbankan tiga nyawa dan meninggalkan kecederaan kekal kepada pasukan JKR lain yang turut terlibat.

“Kerja pembinaan diteruskan, walaupun kesan serangan masih terkesan kepada semua. Inilah jasa Setia Bakti pasukan JKR, perwira yang tidak dijulang,” katanya.

Pada 21 Mei 1974, satu serangan pengganas komunis telah merosakkan puluhan unit jentera berat dan pada 27 Ogos 1974, seramai tiga petugas Jabatan Kerja Raya (JKR) telah terbunuh semasa bekerja untuk membina laluan ini dan ratusan warga unit keselamatan telah gugur antara tahun 1968 hingga 1989 semasa pembinaan jalan raya ini dilaksanakan.

Related Articles

Back to top button