Pilihanraya

PRK: polis beri amaran jangan main isu 3R sepanjang tempoh kempen

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi mengingatkan dan memberi amaran supaya semua parti politik tidak menggunakan isu-isu sensitif khususnya berkiatan 3R iaitu bangsa, agama dan raja sebagai bahan kempen.

Merujuk kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor awal Oktober depan, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata ia bertujuan mengelakkan wujudnya ketidakharmonian dalam kalangan rakyat.

“Kita pun tak mahu membuka kertas siasatan isu-isu sebegini dan mengingatkan agar tidak ada lagi isu-isu sensitif ini dimainkan. Saya juga yakin penyokong parti di Johor juga sama seperti penyokong parti yang telah pun mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas.

“Kita tengok masa PRN lepas, ketika penamaan calon, memang tidak ada apa-apa kes dan saya amat yakin di Johor, pengundinya juga sudah matang dalam menghadapi PRK di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram,” katanya.

PRK diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P161 Pulai dan DUN N13 Simpang Jeram berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon pada 26 Ogos, pengundian awal pada 5 Sept manakala 9 Sept sebagai hari mengundi bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

Related Articles

Back to top button