Cadangan talian sambungan kuasa Sumatera-Semenanjung dikaji semula –
Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk menjalankan bersama kajian kebolehlaksanaan bagi cadangan talian sambungan kuasa antara Sumatera Indonesia-Semenanjung Malaysia, kata Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dipetik laporan media berkata, bagi tujuan itu Tenaga Nasional Bhd (TNB), Syarikat Elektrik Negeri Indonesia PT PLN (Persero) dan Pusat Tenaga Asean (ACE) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga Asean ke-41 (AMEM-41) di Bali.
MoU itu jelasnya untuk memulakan kajian kebolehlaksanaan talian sambungan kuasa tersebut, yang sekiranya menjadi kenyataan, akan menjadi sambungan kuasa rentas sempadan dasar laut yang pertama di rantau ini.
Kajian itu akan meliputi kebolehlaksanaan ekonomi, pelaburan dalam kemudahan yang diperlukan, sokongan pembangunan, pelaksanaan dasar, impak awal alam sekitar serta aspek teknikal.
Nik Nazmi sementara itu berkata idea talian sambungan kuasa Sumatera Indonesia-Semenanjung Malaysia telah dicadangkan sejak beberapa tahun lalu, tetapi kemudian kurang diberi perhatian.
“Kini, dengan harga tenaga yang lebih tinggi dan permintaan (yang semakin meningkat) terhadap tenaga boleh baharu (TBB), kami percaya talian sambungan kuasa itu berdaya maju,” ujarnya.
Selain itu tambah Nik Nazmi, Sabah Electricity Sdn Bhd, ACE dan PT PLN (Persero) juga telah memeterai MoU untuk mewujudkan kajian kebolehlaksanaan dengan skop yang sama untuk wilayah Kalimantan-Sabah.
Matlamatnya adalah untuk mencapai Kesalinghubungan Jaminan Tenaga Mampan di kawasan Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMB).