Nasional

Inflasi Malaysia terendah pada Julai 2023

Inflasi Malaysia dilaporkan telah mereda kepada 2.0 peratus pada Julai 2023 sekaligus nilai terendah pada tahun ini.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, peningkatan perlahan kadar inflasi didorong oleh peningkatan lebih rendah bagi kumpulan Restoran dan Hotel, 5.0 peratus (Jun 2023: 5.4 peratus) serta Makanan dan Minuman Bukan Alkohol, 4.4 peratus (Jun 2023: 4.7 peratus).

Ia jelasnya diikuti oleh kumpulan Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan (2.6 peratus), manakala kedua-dua kumpulan Kesihatan dan Pendidikan masing-masing meningkat sebanyak 2.0 peratus

Tambah Mohd Uzir, inflasi di peringkat negeri bagaimanapun menunjukkan sembilan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional 2.0 peratus dengan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan peningkatan paling rendah sebanyak 1.1 peratus pada Julai 2023.

Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih, Mohd Uzir berkata, inflasi di Malaysia (2.0 peratus) adalah lebih rendah berbanding Zon Euro (5.3 peratus), Filipina (4.7 peratus), Singapura (4.1 peratus), Amerika Syarikat (3.2 peratus), Indonesia (3.1 peratus), Republik Korea (2.3 peratus) dan Vietnam (2.1 peratus).

Namun, katanya lagi, Malaysia lebih tinggi berbanding Thailand (0.4 peratus) dan China (-0.3 peratus).

Mohd Uzir sementara itu berkata, DOSM sedang menjalankan Banci Ekonomi pada tahun 2023 dan orang ramai boleh melayari www.dosm.gov.my untuk maklumat lanjut.

DOSM juga telah melancarkan OpenDOSM NextGen sebagai medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data, dan ia boleh diakses melalui portal https://open.dosm.gov.my .

Related Articles

Back to top button