Nasional

Malaysia berpotensi jadi ‘harimau’ digital Asia – Fahmi

Malaysia berpotensi menjadi ‘harimau’ digital Asia sekiranya negara dapat mencapai kejayaan dalam tiga aspek utama berkaitan infrastruktur dan ekonomi digital.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata perkara pertama dalam tiga aspek tersebut ialah menyelesaikan tiga peratus terakhir kawasan berpenduduk yang tiada jaringan liputan.

“Keduanya adalah menjamin atau meningkatkan tahap keselamatan siber dan penjagaan data peribadi manakala yang ketiga iaitu meningkatkan jumlah pelaburan dan mengembangkan ekonomi digital.

“Sekiranya tiga perkara ini (dapat dicapai) dengan kerjasama pelbagai agensi dan pelbagai pihak di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), saya percaya limpahan daripada usaha ini dapat dinikmati rakyat dan kejayaan itulah akhirnya nanti boleh menggambarkan Malaysia sebagai harimau digital Asia,” katanya.

Fahmi berkata begitu kepada pemberita selepas melancarkan kempen #JagaDataKita dan MyCyberShield oleh TNG Digital Sdn Bhd dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di Kuala Lumpur.

Melalui kempen ini, TNG Digital berharap lebih ramai rakyat Malaysia meningkatkan kesedaran mereka terhadap kes jenayah siber serta aktiviti dalam talian yang membimbangkan.

Sementara itu ketika menyentuh mengenai pelaburan terutama dari syarikat pemproses data, Fahmi berkata ia bukan hanya memberi impak positif kepada ekonomi digital.

Malah kemasukan pelaburan tersebut turut memberi kesan kepada ekonomi setempat, tenaga kerja, dan ekonomi negara.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kempen #JagaDataKita dan langganan perlindungan data peribadi Touch ‘n Go eWallet MyCyberShield hari ini.

“Hari ini banyak syarikat mula pertimbang untuk mengembangkan operasi di Malaysia termasuk menambah jumlah pekerja.

“Ini sangat positif bukan hanya untuk ekosistem ekonomi digital Malaysia, tapi akhirnya nanti secara tidak langsung menjadikan Malaysia sebagai tapak atau pun hub bagi syarikat-syarikat ini berkembang di rantau Asia Tenggara atau luas daripada itu,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button