Negeri

Masalah bekalan air di kawasan pantai barat Sabah dijangka selesai lepas 2027

Pembinaan Empangan Hidro Ulu Padas di Tenom yang dijangka siap dibina pada 2027 dijangka akan menyelesaikan masalah bekalan air di pantai barat Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, projek pembinaan empangan bernilai RM4 bilion yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) dan syarikat swasta itu mampu menghasilkan air sebanyak 6,000 juta liter sehari (MLD).

“Pembinaan empangan itu antara rancangan jangka masa panjang kerajaan negeri dalam usaha mengatasi masalah kekurangan bekalan air yang dihadapi oleh rakyat Sabah pada masa ini.

“Empangan itu bukan hanya sekadar menghasilkan bekalan air malah, ia juga akan menjana bekalan elektrik. Air yang disalurkan akan mampu menampung keperluan sehingga 80 hingga 100 tahun akan datang,” katanya.

Hajiji berkata begitu kepada pemberita ketika menghadiri majlis pecah tanah projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon di Papar.

Sementara itu jelasnya, projek LRA Kogopon merupakan rancangan jangka pendek bagi memenuhi bekalan air bersih di negeri itu, ia mampu meningkatkan kapasiti bekalan air daripada 40 MLD kepada 80 MLD.

“Pembinaan loji ini bermula pada bulan ini dan dijangka siap pada Ogos 2026 dengan kos pembinaan sebanyak RM379 juta. Peningkatan kapasiti air daripada 40 MLD kepada 80 MLD akan membolehkan masalah bekalan air di kawasan Papar sehingga Putatan dan Kimanis dapat diselesaikan.

“Loji ini akan dapat membekalkan air yang mencukupi sehingga 2040. Maka, kerajaan akan memberi keutamaan untuk melaksanakan projek ini. Kerajaan dahulu terlalu banyak bercerita politik, sekarang saya tidak banyak cerita politik sebaliknya bekerja untuk menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Hajiji turut memberitahu, Sabah turut menerima peruntukan RM320 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi menangani masalah air dalam jangka masa pendek termasuk menyelenggara paip-paip yang rosak.

Related Articles

Back to top button