Nasional

Modul Penghayatan Hadis untuk keharmonian masyarakat berbilang kaum

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu rakyat bukan Islam memahami kepentingan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang bakal diajar di sekolah seluruh negara

Jelasnya, pelaksanaan modul itu tidak wajar digembar-gemburkan oleh wakil masyarakat bukan Islam di negara ini kerana ia adalah berkait secara langsung dengan kestabilan, kesejahteraan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama, pada masa depan.

“Saya harap dengan penjelasan ini tidak akan berbangkit kecurigaan dalam sistem pendidikan kita. Sebahagian tidak suka Islam diajar, sebahagian lagi gunakan Islam tetapi tidak dengan dasar ilmu.

“Oleh itu, kita kena cari jalan sebenar iaitu untuk beri kefahaman Islam kepada orang Islam dan tidak paksa sesiapa (bukan Islam),” katanya.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata begitu dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Malaysia Bersama Pimpinan Kerajaan Perpaduan Negeri Johor semalam.

Turut hadir pada pertemuan itu adalah Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan pada Sabtu lalu memaklumkan pihaknya akan memulakan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah bertujuan memperkasa kefahaman Islam sekaligus memupuk semangat ihsan, kasih sayang.

Langkah tersebut akan dilaksana secara rintis membabitkan guru dan murid beragama Islam di 61 sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan 228 sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) seluruh negara.

Bagaimanapun Majlis Perundingan Agama Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) dilaporkan menolak pengajian penghayatan hadis 40 Imam Nawawi di sekolah dengan dakwaan ia bertentangan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Anwar menjelaskan, pelaksanaan modul itu dibuat kerana bimbang Pendidikan Islam sedia ada akan menyebabkan generasi muda mudah terpengaruh kerana tidak memahami ajaran Islam sepenuhnya.

“40 hadis ulama itu sebagai asas untuk orang Islam terutama anak muda, ia penting bagi mereka kuasai dan fahami Islam, jadi jangan salah faham sebab kita bukan paksa (murid) bukan Islam.

“Keduanya, kalau ilmu setakat yang ada sekarang, jadi orang ingat tindakan maki hamun, cerca dan fitnah itu dianggap sebagai sebahagian daripada Islam.

“Sebab itu penyelesaian adalah mendalami ilmu Islam yang bersandar kepada Al-Quran dan kupasan ulama muktabar,” jelas Anwar berhubung usaha yang mahu dilaksana kerajaan itu.

Related Articles

Back to top button