PM Anwar bangga prestasi agensi kerajaan bawah pentadbirannya
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa bangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh agensi kerajaan sepanjang lapan bulan di bawah kelolaannya.
Mengambil contoh Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) sebagai salah satunya, beliau berkata, agensi di bawah Kementerian Kewangan itu telah mempamerkan prestasi yang baik dalam pengurusannya.
“Saya dah hampir lapan bulan mengetuai negara ini, saya bangga, saya meneropong, menelusuri setiap agensi dan minta dipantau teliti kalau ada apa-apa kekurangan, ketirisan, kerosakan, terutama berskala besar.
“Dan syukur Alhamdulillah, setakat ini AmanahRaya prestasinya baik dan saya harap semangat ini dikekalkan kerana ia tidak hanya terletak kepada pimpinan sahaja malah seluruh jentera juga harus menjamin kebersihan (AmanahRaya),” katanya dalam ucapan sempena sambutan Ulang Tahun ke-100 AmanahRaya dan pelancaran logo khas 100 tahun agensi itu di Bukit Kiara pada Jumaat.
Sementara itu Anwar menggesa semua pihak bersedia untuk bersama-sama beliau melakukan anjakan paradigma dalam usaha mengangkat martabat negara.
Beliau berkata, perubahan ke arah kebaikan itu adalah perkara yang dituntut oleh Islam bagi meninggalkan aspek buruk yang merosakkan negara.
“Dalam konteks agama Islam, perubahan ini dituntut dan mesti tercetus daripada hati nurani serta jiwa murni,” katanya.