Politik

‘Tunai amanah bila jadi pemimpin, bukan caci maki orang’ kata PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak supaya mematuhi etika berkempen ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) membabitkan Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Johor.

Berucap pada program Kenduri Rakyat di Dataran Taman Dahlia, di Johor Bahru pada Jumaat, beliau menegaskan semua pihak agar memainkan peranan masing-masing dengan amanah.

“Jadi kerajaan ini, kita fikirkan (inisiatif yang baik untuk rakyat), bukan hendak bergaduh, maki hamun orang ,bukan cerca orang, bukan gaduh sesama kaum dan parti, tidak.

“Bila jadi (kerajaan yang pikul) amanah, itu yang kita buat,” jelasnya.

Beliau turut memberi contoh apa yang dilakukan bekas Menteri KPDN, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang sedaya upaya membantu rakyat apabila berkuasa dengan memperkenalkan inisiatif Payung Rahmah.

“Salahuddin sudah lama dalam politik, tetapi apabila beliau pegang jabatan (KPDN) tumpuan kerja laksanakan amanah, mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.

“Moga contoh ini dapat diteruskan, kuatkan kerajaan dengan maksud beri khidmat terbaik kepada rakyat,” tambahnya.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fauziah Salleh.

Untuk rekod, SPR menetapkan hari ini sebagai penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, dengan tarikh pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pada 9 September.

Related Articles

Back to top button