Semasa

Berhenti sebar fitnah 54,000 rakyat China diberi status warganegara – Fahmi

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menggesa orang ramai agar menghentikan fitnah kononnya Kerajaan Perpaduan akan memberi status kewarganegaraan kepada puluhan ribu rakyat China.

“Sebelum ini, ada pihak yang menuduh kononnya Kerajaan Perpaduan akan memberi status warganegara kepada 54,000 rakyat China. Sebenarnya, angka 54,000 yang disebut-sebut itu adalah jumlah keseluruhan permohonan yang diterima.

“Itupun (jumlah permohonan diterima) bukan untuk 2023. Ia adalah angka keseluruhan permohonan dari 2017 hingga 2022. Jadi, berapa sebenarnya yang diluluskan?

“Berdasarkan penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, hanya 45 warga China dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia dari 2017 hingga kini.

“Itupun hanya setelah seseorang itu memenuhi syarat yang diperuntukkan mengikut Bahagian III Perlembagaan Persekutuan Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964,” katanya dalam video ringkas dimuat naik melalui TikTok, malam ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut menggesa agar orang ramai tidak mudah terpedaya dengan fitnah untuk memburukkan kerajaan dan mereka disarankan membuat semakan kepada perkara yang tular di media sosial.

Semalam Menteri Dalam Negeri (KDN) Saifuddin Nasution Ismail menyangkal dakwaan bahawa kementerian diterajuinya sedang dalam proses memberi kerakyatan Malaysia secara besar-besaran kepada warga asing, terutama dari China.

Tanpa memperincikan dakwaan itu, beliau menyifatkan perkara terbabit sebagai tohmahan dahsyat dilontarkan tanpa rasa tanggungjawab, yang memberi kesan kepada usaha kementerian menyelesaikan isu permohonan kewarganegaraan ketika ini.

Saifuddin Nasution dipetik berkata, lebih 140,000 permohonan kewarganegaraan diterima pihaknya dan daripada jumlah itu, sebanyak 9,000 sudah diproses termasuk permohonan yang diluluskan.

Justeru, katanya, jika data berkaitan pemberian kewarganegaraan itu diputarbelit dan disebarkan, ia boleh memberi persepsi negatif terhadap usaha kementeriannya menyelesaikan isu kewarganegaraan, termasuk yang banyak disebabkan oleh kelewatan pendaftaran perkahwinan.

Sebelum ini, Jabatan Pendaftaran Negara dilapor menafikan dakwaan bahawa kira-kira 54,000 warga China sedang dalam proses diberikan kerakyatan Malaysia untuk menjadi ‘pengundi DAP.’

Related Articles

Back to top button