Semasa

PM Anwar sampaikan sumbangan peribadi buat keluarga dua mangsa nahas N28JV

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga dua mangsa nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam 17 Ogos lalu.

Sumbangan itu disampaikan melalui Setiausaha Politiknya Ahmad Farhan Fauzi yang hadir menziarahi dua keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas itu di Pahang.

“Pertemuan itu adalah untuk menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Ustaz Idris Abdol Talib dan Allahyarham Khairil Azwan Jamaluddin di Felda Mempaga 1, Karak dan Kampung Ketari, Bentong Pahang.”

“Perdana menteri menyatakan rasa “dukacita dan mendoakan agar keluarga mangsa terus diberikan kekuatan serta ketabahan yang tinggi saat diuji dengan ujian besar itu.” kata kenyataan di laman Facebook Anwar.

Ahmad Farhan sebelum ini turut menziarahi keluarga mangsa insiden lain. Pada Selasa beliau menziarahi keluarga Allahyarham Muhammad Taufiq Mohd Zaki (Pegawai Khas kepada Datuk Seri Johari Harun) serta waris Allahyarham Datuk Seri Johari Harun (EXCO Kerajaan Negeri Pahang) dan Allahyarham Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi (juga juruterbang pesawat).

Pada hari berikutnya, beliau turut menziarahi keluarga Sharipudin Shaari iaitu pemandu e-hailing serta waris Allahyarham Shahrul Kamal Roslan dan Allahyarham Haikal Aras Abdul Azim, yang masing-masing adalah juruterbang pesawat bagi menyampaikan sedikit sumbangan.

Dalam perkembangan lain, polis telah memanggil lebih 10 individu bagi merakam percakapan untuk membantu siasatan berhubung nahas tersebut.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, antara yang dipanggil ialah individu yang mempunyai video rakaman kejadian, syarikat penerbangan dan wakil Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Related Articles

Back to top button