Pilihanraya

Yakin Pulai dan Simpang Jeram akan dipertahankan

Pakatan Harapan (PH) mempunyai kelebihan untuk mempertahankan kerusi pada pilihan raya kecil (PRK) ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan Pakatan Harapan dan rakan gabungan strategiknya, Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang besar untuk mempertahan kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Merujuk Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan bulan hadapan, Anthony Loke berkata, keyakinan itu berdasarkan PH merupakan penyandang di kerusi berkenaan selain turut dibantu oleh pengundi UMNO dan BN .

“Saya yakin kedua-dua kerusi ini ada potensi untuk kita pertahankan kerana kedua-duanya adalah kerusi penyandang dan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub juga merupakan pemimpin yang sangat dihormati dan disanjungi selain mempunyai ‘track record’ yang cukup baik.

“Kedua-dua kerusi ini juga merupakan kerusi campuran dan sudah tentu PH ada kelebihan. Tambahan pula kita dapat sokongan daripada UMNO Johor yang mana kita tahu Johor merupakan kubu kuat UMNO,” katanya.

Hari ini penamaan calon kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram menyaksikan saingan tiga penjuru dalam PRK kawasan berkenaan.

Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Amanah Johor dan Ketua Amanah Bahagian Pulai akan ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar.

Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi, pula diumumkan bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Pulai.

Bagi DUN Simpang Jeram PH meletakkan bekas jurutera Majlis Perbandaran Muar (MPM), Nazri Abd Rahman sebagai calon mereka, PN diwakili pakar bedah, Dr Mazri Yahya, manakala S Jegananthan mewakili Bebas.

Related Articles

Back to top button