Politik

Anthony Loke hairan mengapa hanya DAP dijadikan ‘punching bag’ Pas

Tindakan Pas menjadikan DAP sebagai ‘punching bag’ dalam meraih sokongan politik termasuk dengan melabelkan parti itu sebagai musuh Islam dipersoal.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, perkara itu dapat dilihat melalui kenyataan fitnah terbaharu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dihadapan penyokong parti itu bahawa kononnya pimpinan DAP meminta mereka untuk membuang Islam daripada perjuangannya sebagai syarat meneruskan kerjasama antara kedua-dua parti berkenaan sebelum ini.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan liar tersebut. DAP tidak pernah meminta Pas membuang Islam sepanjang kerjasama antara kedua-dua parti sama ada semasa dalam Barisan Alternatif (1999-2002) mahupun Pakatan Rakyat (2008-2015).

“DAP konsisten dalam pendirian sepanjang kerjasama politik dengan Pas bahawa kami fokus dalam isu-isu yang dipersetujui bersama tetapi mengambil pendekatan bersetuju untuk tidak bersetuju (agree to disagree) dalam isu yang tidak dapat mencapai konsensus,” kata Anthony Loke dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan itu juga beliau berkata, isu pokok yang tidak dapat dipersetujui oleh DAP ialah pelaksanaan hukum hudud yang dicadangkan Abdul Hadi. Ini kerana pihaknya melihat cadangan itu tidak konsisten kerana ia tidak berlandaskan kepada sistem undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun sekali lagi beliau mempersoalkan mengapa hanya parti itu dipersalahkan, sedangkan jelasnya selain DAP, individu paling lantang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud ialah Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi Perdana Menteri keempat.

“Pendirian tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud tidak bermakna melawan agama Islam.

“Dr Mahathir tidak pernah setuju dengan pelaksanaan hudud. Begitu juga parti-parti yang disebut oleh Abdul Hadi seperti MCA, MIC dan Gerakan,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button