ekonomi

Jumlah dagangan Malaysia cecah RM216.4 bilion pada Julai 2023

Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM216.4 bilion pada Julai 2023 dengan nilai eksport RM116.8 bilion dan import bernilai RM99.7 bilion.

Di mana, nilai eksport di enam negeri meningkat pada Julai 2023 meskipun prestasi keseluruhan Malaysia pada bulan lalu merosot sebanyak 13.1 peratus atau sebanyak RM17.6 bilion kepada RM116.8 bilion.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata eksport meningkat di Pulau Pinang sebanyak RM2.1 bilion, Kedah (RM1.2 bilion), Labuan (RM462.3 juta), Kelantan (RM167.4 juta), Perlis (RM6.4 juta) dan Pahang (RM6.2 juta).

Beliau berkata, penurunan prestasi pada Julai dipengaruhi oleh eksport yang lebih rendah di kebanyakan negeri iaitu Johor (-RM8.2 bilion), Sarawak (-RM3.4 bilion), Selangor (-RM3.4 bilion), Kuala Lumpur (-RM3.3 bilion), Terengganu (-RM1.1 bilion), Sabah (-RM860.5 juta), Melaka (-RM446.1 juta), Negeri Sembilan (-RM238.6 juta) dan Perak (-RM27.4 juta).

“Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 33.9 peratus, diikuti oleh Johor (19.6 peratus), Selangor (17.8 peratus), Sarawak (tujuh peratus) dan Kedah (4.4 peratus),” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini.

Beralih kepada prestasi import mengikut negeri, Mohd Uzir memaklumkan bahawa import pada Julai 2023 juga menurun RM18.8 bilion (-15.9 peratus) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Beliau berkata, penurunan import disebabkan oleh import yang lebih rendah di kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (-RM5.8 bilion), Johor (-RM4.9 bilion), Kuala Lumpur (-RM2.5 bilion), Selangor (-RM2 bilion), Kedah (-RM1.2 bilion), Sarawak (-RM811.8 juta), Perak (-RM644.6 juta), Pahang (-RM427.5 juta), Negeri Sembilan (-RM405.6 bilion), Terengganu (-RM68.6 juta) dan Sabah (-RM49.3 juta).

Walau bagaimanapun, katanya nilai import meningkat di Melaka sebanyak RM226.2 juta, Labuan (RM136.7 juta), Kelantan (RM20.2 juta) dan Perlis (RM1.7 juta).

“Selangor terus mendominasi import Malaysia dengan 27.8 peratus, diikuti oleh Johor (22.9 peratus), Pulau Pinang (19.6 peratus), Kuala Lumpur (7.2 peratus) dan Sarawak (lima peratus).

Related Articles

Back to top button