Nasional

KPDN bincang dengan kementerian lain untuk cari penyelesaian jangka panjang isu bekalan gula

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang berbincang dengan beberapa kementerian berkaitan bagi mencari penyelesaian jangka panjang mengatasi masalah bekalan gula negara.

Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata bagi tujuan itu, satu mesyuarat dipengerusikannya telah diadakan bersama Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi tujuan berkenaan.

“Kita tahu ada isu berkaitan gula ini yang memerlukan penyelesaian jangka panjang membabitkan beberapa kementerian dan kita sedang berbincang mengenainya.

“Baru-baru ini saya mempengerusikan beberapa mesyuarat dengan pegawai Kementerian Ekonomi, MITI dan KPKM untuk mencari penyelesaian jangka panjang.

“Namun pada peringkat semasa, kita kena teruskan Ops Manis untuk pastikan pengilang bertanggungjawab membekalkan gula bertapis putih kasar dan halus sebanyak 42,000 tan sebulan,” katanya selepas Program Bimbingan Usahawan dan Sesi Libat Urus bersama Intermediari Korporat SSM 2023 Peringkat Negeri Johor semalam.

Sementara itu, merujuk laporan media bahawa ada segelintir peniaga mengenakan syarat dalam pembelian gula, Armizan berkata ia tidak sepatutnya berlaku.

Katanya, KPDN akan mengambil tindakan terhadap peniaga yang meletakkan syarat, kononnya perlu melakukan pembelian satu kilogram gula putih jernih (premium) terlebih dulu jika mahu membeli gula pasir kasar.

“Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang mengenakan syarat berkenaan tanpa kebenaran pengawal bekalan dan kes disiasat mengikut Seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Syarat itu tidak boleh diletakkan dan jika ada kes, boleh dilaporkan kepada kita untuk tindakan bersesuaian serta-merta,” katanya.

untuk rekod, Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail dalam kenyataan pada Sabtu berkata, sebuah premis perniagaan di Batu Gajah, diserbu selepas didapati menjual gula pasir secara bersyarat.

Premis itu dikesan meletakkan syarat jika mahu membeli gula pasir kasar, mereka perlu terlebih dulu melakukan pembelian satu kilogram gula putih jernih (premium) berharga RM4.50 sepaket.

Related Articles

Back to top button