Manfaat Debat Perdana Madani, perincikan segala kelebihan intelektual rakyat
Malaysia Madani adalah satu gagasan besar yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan gagasan ini diunjurkan sebagai satu etos nasional yang bersandar pada enam prinsip utama, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, prinsip-prinsip itu disusun sebagai asas kepada sebuah sistem nilai yang harus memimpin Malaysia secara rapat dan tegas dalam menguruskan negara ini dan memeta masa depannya.
Khaled turut berharap agar Malaysia bertumbuh menjadi sebuah negara yang matang, sarat dengan nilai-nilai unggul dan dicirikan dengan kesejahteraan yang merentasi segala latar dan perbezaan.
“Kita mahu menampilkan kepada semua bahawa kerencaman identiti dari segi leluhur bangsa, pecahan etnik mahupun pegangan agama, bukanlah satu masalah.
“Sebaliknya, semua itu adalah kekuatan yang mesti diraikan dan dilonjakkan potensinya,” katanya.
Katanya, Kerajaan Perpaduan bukan sahaja sebuah kerajaan yang sederhana tetapi juga kerajaan yang menerima hakikat bahawa apa-apa sahaja gagasan yang diperkenal dan diusahakan mestilah bersifat dinamik dan memerlukan kefahaman serta penerimaan yang baik oleh masyarakat.
Justeru, Debat Perdana Madani adalah salah satu cara dan pendekatan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menyumbang dalam menjayakan Malaysia Madani.
Mohamed Khaled berkata, secara asasnya, terdapat beberapa dimensi penting yang ditegaskan dalam penganjuran Debat Perdana Madani tersebut.
Katanya, pertama, Malaysia Madani bukan sahaja tentang sistem nilai yang unggul atau idea besar tetapi yang lebih utama adalah satu seruan kebersamaan dalam memberi yang terbaik kepada tanah air.
“Sebagai sebuah kementerian yang menguruskan bakat, ilmu dan kebijaksanaan watan, Debat Perdana Madani adalah saluran untuk segala kelebihan intelektual diangkat dan dikongsikan dengan negara.
“Kita mahu menggembleng segala kekuatan dan kelebihan dari segi idea dan pemikiran besar, untuk disumbangkan kepada usaha membawa kesejahteraan tanah air.
“Bagi pihak KPT, Debat Perdana Madani ini adalah sebuah projek untuk negara yang memfokuskan pada penjanaan idea dan buah pandangan.
“Ini kerana, tanpa idea dan buah pandangan yang pelbagai, tidak ada agenda dan misi bersama negara yang akan berjaya,” ujarnya.
Jelasnya, yang kedua, Debat Perdana Madani adalah pentas untuk memperincikan strategi dan tindakan bagi menjayakan Malaysia Madani.
Menurut beliau, Malaysia Madani adalah gagasan besar yang bersifat etos nasional tetapi untuk sesebuah gagasan besar itu berjaya dan mencapai matlamat murninya, gagasan tersebut mesti diisi dengan cara yang betul, praktikal dan strategik.
Malah katanya, idea besar yang baik, jika tidak diterjemahkan dengan cara yang berkesan akan berakhir sebagai sekadar slogan kosong.
“Saya yakin, setelah mendengar syarahan daripada semua tokoh yang dijemput, kita berpeluang melihat dengan lebih jelas apakah kelebihan Malaysia Madani sebagai sebuah gagasan negara.
“Malah kita akan dapat meneliti secara objektif apakah kekurangan dan lakuna yang ada, yang mesti diperbetul dan diperkukuh secara berlapang dada.
“Yang ketiga dan terakhir, saya memberi jaminan bahawa segala pengamatan serta perspektif yang dikongsikan oleh semua panel yang bijaksana hari ini, bukan sahaja sangat kita hargai, tetapi akan diberikan perhatian serius.
“Ini kerana debat Perdana Madani ini menghimpunkan minda-minda besar. Mereka adalah tokoh yang dihormati, yang kaya dengan ilmu dan pengalaman,” jelasnya.
Pentas Debat Perdana Madani mengumpulkan tokoh-tokoh ulung bagi memastikan idea-idea besar berkenaan Malaysia Madani diuji dan dibahaskan secara terbuka dan kritikal.
Menurut Mohamed Khaled, sekali pun semua orang jelas dengan nilai dan pendirian yang membentuk gagasan Malaysia Madani, namun pandangan, kritikan serta saranan daripada golongan bijak pandai sebenarnya masih sangat diperlukan.
“Sebab itu pentas ini dibuka seluas-luasnya. Ia adalah ruang dan peluang kita mengutip segala nilai tambah yang ampuh dalam menjayakan Malaysia Madani.
“Insya-Allah, Debat Perdana Madani ini akan terus diangkat sebagai jalan penting dalam menjayakan gagasan besar negara,” ujar beliau.