Politik

Mengapa Pas diam bila Gerakan bantah Modul Hadis 40 Imam?, soal Nur Jazlan

Ketua UMNO Bahagian Pulai mempersoalkan mengapa pemimpin Pas tidak bersuara selepas sekutu mereka dalam Perikatan Nasional (PN) membantah modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi untuk pelajar Islam

Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa pemimpin Pas dengan pantas mengeluarkan kenyataan bahawa orang bukan Islam tidak wajar membantah pelaksanaan itu selepas MCA menyatakan bantahan tetapi ia tidak berlaku apabila perkara serupa dilakukan pemimpin Gerakan.

“Saya bukan mahu pertahan MCA yang bersama dalam Barisan Nasional (BN) sebab saya pun berpendirian parti itu tidak perlu campur tangan isu modul berkenaan yang tidak ada kaitan dengan pelajar bukan Islam.

“Cuma saya tidak boleh terima sikap double standard dan perbuatan Pas yang setiap kali tunggang isu agama apabila ada kepentingan politik.

“Kenapa Pas tidak tarbiahkan sekali pemimpin dalam Gerakan sepertimana yang mereka duduk sembang selama ini mahu menegakkan ajaran Islam kepada parti bukan Islam dalam PN?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook.

Media sebelum ini melaporkan, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, langkah memperkenal modul bercanggah dengan prinsip negara, selain mengancam keharmonian kepelbagaian budaya dan agama di Malaysia.

Kementerian Pendidikan baru-baru ini menjelaskan modul berkenaan akan diperkenal di 61 sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan 228 sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) seluruh negara dan tidak melibatkan pelajar bukan Islam.

Nur Jazlan sementara itu turut menempelak sikap Pas yang pantas mengentam pihak lain termasuk UMNO hanya untuk mendapat modal politik.

Beliau memberi contoh apabila UMNO bersama DAP dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedangkan parti itu boleh bersengkokol dengan Gerakan dalam PN yang terang-terang banyak kali menongkah arus babitkan isu Islam

“Kononnya UMNO tergamak bekerjasama dengan satu parti yang anti Islam dan Melayu. Padahal Gerakan pun apa kurangnya. Kadangkala Gerakan lebih ekstrim dalam beberapa isu babitkan Islam seperti tindakan Gerakan saman Pas Kelantan dalam isu hudud dan membantah pelaksanaan tulisan jawi pada buku-buku teks di semua sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).

“Pas boleh pula tutup sebelah mata dengan Gerakan sebab mereka berkawan. Jadi hukum hakam Islam yang dibawa Pas boleh memilih pihak mana yang betul dan salah?

“Janganlah bawa kemunafikan politik dalam isu agama semata-mata untuk kepentingan kuasa dan kedudukan,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button