Mohammad Sabu bakal dedah ‘pembohongan’ Abdul Hadi
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berjanji akan mendedahkan apa yang didakwanya pembohongan dilakukan Presiden Pas kepada rakyat.
Mohamad Sabu yang merupakan bekas Timbalan Presiden Pas berkata begitu ketika berucap pada Ceramah Perpaduan Pulai di Nusa Bestari di sini pada malam Ahad berkata, kini sudah sampai masanya rakyat tahu perkara sebenar termasuk keputusan Pas meninggalkan gabungan Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.
“Semalam Presiden Pas ‘tembak’ mengatakan bahawa mereka tinggalkan PR kerana parti DAP tolak hudud. Saya takkan jawab malam ini, saya akan jawab malam esok di Simpang Jeram, Muar.
“Saya akan jawab malam esok bagaimana seorang Presiden Pas membuat pembohongan kepada rakyat jelata. Saya akan jawab satu persatu malam esok pembohongan itu.
“Aku bukan orang kecil, aku bekas Timbalan Presiden Pas. Jangan tipu rakyat di atas kupiah kami itu, ‘no more’,” katanya
Kenyataan Mohammad Sabu itu sebagai respon terhadap tuduhan Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam ucapannya di hadapan penyokong Pas pada satu program di Muar yang mendakwa, tindakan segelintir ahli dan bekas pemimpin parti itu menyertai Amanah adalah kerana takut kalah dalam pilihan raya.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja mengingatkan Abdul Hadi supaya menghentikan perbuatan pembohongan kononnya Islam terancam.
Jelasnya, parti Pas dan sekutunya sanggup menggunakan agama Islam semata-mata untuk kepentingan mereka.
“Sebagai contoh di Selangor pada pilihan raya negeri (PRN) yang lalu, semasa kempen mereka menggunakan isu sekolah agama dan tahfiz diarahkan tutup, isu itu membuatkan pengundi Melayu percaya mereka.
“Padahal arahan Sultan Selangor pada waktu itu supaya semua sekolah agama yang tak ikut peraturan dan standard piawaian mesti ditutup sebab boleh mengundang bahawa, perlu buat pembaharuan jika mahu beroperasi semula.
“Isu itu menyebabkan mereka dapat sokongan sementara, saya yakin pembohongan mereka itu tak boleh bertahan hingga empat tahun akan datang. Saya yakin rakyat tak bodoh,” katanya.