Semasa

Naik taraf lesen B automatik: TPM akan bawa cadangan ke MOT

Cadangan untuk menaik taraf lesen memandu bagi kelas B2 kepada B secara automatik akan dibawa ke Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk diteliti.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau berpendapat tidak ada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.

“Saya tidak fikir ujian memandu (diperlukan) kerana mereka pemandu (penunggang) yang berpengalaman, dan saya juga fikir mereka tidak memerlukan syarat-syarat ketat.

“Saya akan kemukakan kepada Menteri Pengangkutan (Anthony Loke Siew Fook) dahulu, saya tidak fikir ini satu masalah kerana ia merupakan isu pentadbiran sahaja,” katanya.

Ahmad Zahid berkata begitu kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka 66 membabitkan 238 penunggang motosikal, di Pahang pada Ahad.

Program Kembara Merdeka 66 sejauh 1,366 kilometer itu bermula hari ini sehingga 31 Ogos, yang akan menjelajahi Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Lembah Klang.

Kembara Merdera hasil cetusan idea Ahmad Zahid itu bertujuan menzahirkan semangat patriotik selain menyemarakkan ikatan silaturahim antara pemilik motosikal berkuasa tinggi, penduduk kampung dan penunggang motosikal dalam kalangan golongan muda.

Terdahulu, Presiden Superbikers Association Malaysia (SAM) Datuk Abdul Halim Suleiman menyerahkan kertas cadangan bagi menaik taraf lesen memandu kelas B2 kepada B secara automatik bagi penunggang motosikal yang tidak melakukan kesalahan jalan raya serius dalam tempoh tiga tahun selepas mendapat lesen B2.

Related Articles

Back to top button