Semasa

Pembangunan lanskap perlu rangkum aspek sosial dan kemampanan alam sekitar

Landskap bukan hanya bersifat estetika semata-mata, sebaliknya satu keperluan hidup dan merangkumi aspek pemerkasaan ekonomi dan sosial serta kemampanan alam sekitar, yang merupakan pra-syarat kepada kriteria sebuah negara maju.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mahu landskap dibangunkan sebagai satu bentuk keperluan dalam kehidupan rakyat yang bukan hanya bersikap estetika semata-mata.

Peningkatan jumlah penduduk yang semakin tinggi di kawasan bandar telah meningkatkan keperluan ruang hijau bandar dan berharap projek pembangunan itu akan dimanfaatkan penduduk sebaik mungkin.

“Industri landskap tidak hanya boleh hanya dilihat sebagai pelengkap atau aksesori dalam pembangunan tetapi landskap boleh menjadi satu keutamaan dalam pembangunan yang kita laksanakan.

“Jika dilihat di negara maju, landskap menjadi tumpuan utama dan pembangunan berlaku di persekitarannya.

“Di Kuala Lumpur, kita sudah ada taman-taman yang agak besar tetapi cabarannya ialah bagaimana kita mahu seimbangkan dengan pembangunan yang ada,” katanya selepas merasmikan Projek Pembangunan Landskap Persekitaran Kehidupan di Setiawangsa, pada Ahad.

Bagi mencapai tujuan itu jelasnya, pihaknya akan terus memberi fokus kepada aspek daya huni yang menjadi satu instrumen penting dalam menentukan keselesaan persekitaran kehidupan.

Kementerian juga melalui Jabatan Landskap Negara sedang giat memperkemas sistem jaringan landskap negara bagi melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan, selari dengan agenda pembangunan mampan

Sementara itu ketika mengulas projek pembangunan yang dirasmikan itu, beliau menjelaskan ia dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggunakan geran bernilai RM1 juta yang diterima atas kejayaan menggungguli Anugerah Inisiatif Negara Taman Terindah pada tahun 2019.

Pembinaannya membabitkan kemudahan seperti gelanggang futsal, trek jogging, laluan pejalan kaki, kawasan riadah dan kawasan lapang bagi aktiviti kemasyarakatan penduduk sekitar.

Related Articles

Back to top button